Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, Sultan Johor supaya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor mengadakan mesyuarat khas berhubung Covid-19 menunjukkan kepimpinan yang berwibawa dan berjiwa rakyat serta tepat pada masa.
Sumber: https://www.facebook.com/officialsultanibrahim/posts/1850501125116572
Malaysia pada hari ini (20 Mei) mencatat sebanyak 6806 kes baru Covid-19 dalam tempoh 24 jam. Johor sendiri mencatat 615 kes baru dalam tempoh yang sama. Ini menunjukkan bahawa kita sudah di tahap kritikal dan para pemimpin perlu mengambil tindakan strategik secara bersama.
Jelas dalam titah Tuanku Sultan, bahawa baginda sedar akan keperluan kerjasama semua pemimpin dan wakil rakyat tidak kira dari mana-mana belah jurang politik untuk membendung penularan virus ini yang semakin tidak terkawal. Situasi yang kita kini semua hadapi perlu ditangani dengan penglibatan semua, terutamanya para wakil rakyat yang diberi mandat oleh pengundi untuk membela, membantu dan mewakili kepentingan mereka.
Sekali lagi, Johor menjadi contoh kepada seluruh negara yang wajar diikuti. Titah Sultan Ibrahim kini membuka ruang untuk membawa penyelesaian kepada dua perkara utama yang selalu dalam minda iaitu pemulihan demokrasi dan pembendungan wabak Covid-19. Sejak pengisytiharan darurat, ramai yang bimbang bahawa sistem demokrasi di negara ini semakin terhakis dan tiadanya mekanisme semak dan imbang untuk memastikan kerajaan berfungsi secara telus dan adil.
Seterusnya, persidangan meskipun mesyuarat antara semua Ahli Parlimen dan ADUN hanya boleh membawa faedah dalam usaha membendung wabak ini dengan perbincangan secara menyeluruh dan pertukaran idea bagi menangani Covid-19. Wakil rakyat sepatutnya memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan penularan wabak Covid-19 segera dibendung, dan jika mereka terus bekerja dalam silo, sudah pastinya mereka tidak dapat mencari penyelesaian.
Dalam titah Tuanku Sultan kita boleh lihat bahawa baginda juga prihatin dengan perasaan dan rasa bimbang rakyat mengenai situasi yang kini dihadapi oleh negara. Baginda juga tidak berseorangan dalam menzahirkan pandangan bahawa perlunya ada persidangan wakil rakyat, KDYMM Yang Di-Pertuan Agong juga pernah menitahkan bahawa persidangan Parlimen boleh dan wajar diadakan walaupun negara berada dalam darurat. Sudah tiba masanya ahli politik mengetepikan perbezaan politik mereka demi menyelamatkan negara dan rakyat.
Menjunjung kasih Tuanku atas titah yang disampaikan. Semoga ahli-ahli politik akan akur dan bekerjasama untuk mencari jalan keluar dari kemelut yang lebih besar, iaitu wabak Covid-19 ini.
Daulat Tuanku!
Sumber: https://www.facebook.com/760258150726892/posts/3955182644567744/?d=n
Comments
Post a Comment