Sumbangan Tunku Ismail Kepada Negeri Johor Darul Ta'zim


Sebagai seorang yang memegang tanggungjawab sebagai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim merupakan seorang yang prihatin terhadap Bangsa Johor.

Perkara itu dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif sosial yang dijalankan oleh Baginda kepada golongan kurang berkemampuan seperti program Ziarah Prihatin serta kurniaan peribadi di semua daerah Johor.

Selain itu, inisiatif penting dilaksanakan oleh Baginda adalah menubuhkan pasukan sukarelawan, Southern Volunteers. Pasukan itu giat menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam khususnya banjir.

Southern Volunteers bukan sahaja terlibat dalam mengendalikan hal-hal bantuan bencana alam tetapi juga membantu mangsa banjir selepas bencana.

Penubuhan Southern Volunteers jelas menunjukkan komitmen Baginda dalam memastikan kebajikan Bangsa Johor terjamin ketika dilanda musibah.
Baginda sangat menyayangi kanak-kanak dan prihatin dalam memelihara hak golongan tersebut. Baginda merupakan individu pertama yang menghulurkan bantuan dalam menuntut pembelaan terhadap remaja yang didera iaitu Bella pada 2022.

Tunku Ismail berkenan menghantar pasukan peguamnya untuk memastikan keadilan terhadap Bella terjamin. Itu menunjukkan dedikasi serta komitmen Baginda dalam melindungi hak asasi manusia khususnya golongan kanak-kanak.

Baginda pernah bertitah bahawa kanak-kanak merupakan golongan yang perlu dilindungi kerana Baginda juga merupakan seorang bapa. Sikap prihatin serta berjiwa rakyat Tunku Ismail menyentuh hati rakyat pada masa itu.
Tunku Ismail juga seorang yang prihatin terhadap isu pendidikan di negeri Johor. Saban tahun, Baginda menekankan kepentingan pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor.

Bagi Tunku Ismail, pendidikan yang berkualiti merupakan asas kemajuan kepada Johor.

Justeru, banyak sekolah-sekolah di Johor mendapat bantuan daripada Tunku Ismail supaya golongan pelajar mendapat manfaat pendidikan berkualiti di negeri tersebut.
Sumbangan Tunku Ismail dalam bidang sukan di Johor sangat besar. Sejak 2013, Tunku Ismail berjaya membawa kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) merekodkan pelbagai kejayaan di luar dan dalam negara.

Di peringkat domestik, Baginda berjaya membawa JDT muncul juara Liga Super 10 kali berturut-turut serta menjuarai pelbagai piala lain termasuklah Piala FA dan Piala Malaysia.

Di peringkat antarabangsa, JDT pernah menjadi juara Piala AFC serta layak ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL). Kejayaan JDT menjadi contoh kepada pasukan-pasukan lain dalam Liga Malaysia.
Selain itu, Tunku Ismail turut menzahirkan komitmen Baginda dalam memelihara alam sekitar di Johor.

Salah satu sumbangan Baginda adalah memberi bantuan kepada Kerajaan Negeri Johor untuk memelihara keindahan pulau-pulau di Mersing yang berpotensi menjadi pusat pelancongan bertaraf dunia.

Baginda juga pernah mengarahkan pasukannya untuk membersihkan sampah sarap di sekitar pantai Tanjung Balau pada kadar segera selepas orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kebersihan di kawasan berkenaan.
Sudah semestinya, selama Tunku Ismail menjadi Pemangku Sultan Johor, bersempena dengan Tuanku Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang Di-Pertuan Agong, Baginda pasti akan menyumbangkan bakti dan jasanya terhadap negeri Johor yang dicintai.

Baginda membuktikan dedikasi dan komitmennya terhadap Bangsa Johor tiada tolok bandingnya.

Baginda sangat memahami masalah rakyat dan tidak jemu untuk memastikan Bangsa Johor berada dalam keadaan makmur serta sejahtera.

Semoga Allah berkati usia Tunku Ismail dan seisi keluarga. Allah peliharakan Sultan.

Comments