Putera Raja Berjiwa Rakyat

Awal tahun ini, Johor menjadi antara negeri yang dilanda banjir teruk. Kira-kira lebih 4,000 orang penduduk terjejas akibat bencana berkenaan.

Johor beruntung kerana memiliki DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja Johor yang sangat mengambil berat tentang masalah rakyat negeri itu.

Baginda terus mengerahkan pasukan sukarelawan Johor iaitu Southern Volunteers untuk menjalankan Misi Bantuan Banjir di semua daerah terjejas seperti Segamat, Muar dan Tangkak.

Tunku Ismail turut memberikan sumbangan 2,000 kotak makanan kepada semua mangsa banjir.

Tindakan pantas Tunku Ismail sedikit sebanyak meringankan beban kesusahan ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir Johor.

Bukan itu sahaja, Baginda juga menjalankan program kurniaan untuk keluarga-keluarga asnaf di Johor yang dijalankan setiap bulan.

Tunku Ismail mahu memastikan rakyat Johor tidak merasa susah dan terabai.

Di samping itu, Baginda juga ‘turun padang’ untuk beramah mesra dengan rakyat Johor.

Setakat tahun ini, Tunku Ismail melawat Mukim Serkat, Pontian dan Labis, Segamat.

Selain beramah mesra dengan penduduk kawasan itu, Baginda juga tidak melupakan golongan asnaf apabila kurniaan peribadi turut diserahkan kepada mereka.
Tunku Ismail bukan sekadar duduk diam sahaja. Baginda turut mengadakan pertemuan dan mesyuarat bersama Kerajaan Negeri Johor dan beberapa pihak untuk memastikan Johor berada pada landasan terbaik menjadi sebuah negeri yang berkembang pesat.

Antara pelan yang bakal dilaksanakan oleh Tunku Ismail adalah membangunkan sistem penjagaan kesihatan di Johor dan Pusat Media Digital Johor.

Baginda juga mengadakan pertemuan dengan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membincangkan soal pendidikan bagi rakyat Johor.

Cadangan yang dikemukakan oleh Tunku Ismail adalah Johor menjadi hab pilihan pendidikan tempatan dan antarabangsa.

Tunku Ismail turut mencadangkan agar Persatuan Mahasiswa Anak Johor diwujudkan semula di semua universiti tempatan. Betapa prihatinnya Tunku Ismail untuk memastikan aspek pendidikan di Johor terus diperkasakan.
Baginda juga menjadi individu yang lantang mengecam isu penderaan kanak-kanak.

Tidak mahu kanak-kanak di Johor mengalami nasib seperti gadis Orang Kelainan Upaya (OKU), Bella yang berdepan isu penderaan, Tunku Ismail memberikan sumbangan untuk menambah baik Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor Bahru serta menyediakan sebuah CIC di Ibu Pejabat Polis (IPD) Muar.

Baginda merupakan seorang yang berjiwa rakyat dan sentiasa mengambil berat tentang penduduk Johor.

Baginda begitu bersungguh-sungguh memastikan Johor berkembang maju. Maka, tidak hairan mengapa rakyat Johor sangat sayangkan Tunku Ismail.

Comments